Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT catat kemenangan ke-15, Kedah kejutkan Terengganu, Perak kalah lagi

Saingan Liga Super hari ini menyaksikan JDT mencatatkan kemenangan ke-15 musim ini apabila menewaskan PJ City 2-0 di Kelana Jaya.

JDT mendahului menerusi Bergson pada minit ke-27, yang menjaringkan gol ke-20 musim ini.

Mohamadou Sumareh melengkapkan kemenangan JDT pada minit ke-83 hasil hantaran Akhyar Rashid, dengan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

JDT kini mengumpul 48 mata daripada 19 perlawanan, dengan berbaki 3 perlawanan.

Hasrat Terengganu untuk terus merapatkan jurang dengan JDT tidak menjadi kenyataan apabila dikejutkan dengan kekalahan 2-1 kepada Terengganu di laman sendiri.

Dengan separuh masa pertama hampir tamat, Rabih Ataya berjaya menyudahkan gol pendahuluan hasil gerakan Syazwan Zainon dan Kpah Sherman untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Syazwan sekali lagi cemerlang apabila menggandakan kedudukan 2-0 hasil gerakan Kpah dan Kipre Tchetche pada minit ke-50.

Terengganu merapatkan jurang hasil sepakan percuma David Da Silva pada minit ke-70 namun gagal mencari gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.

Terengganu kekal di tangga ke-2 dengan 37 mata selepas 19 perlawanan manakala Kedah di tangga ke-4 dengan 32 mata selepas 16 perlawanan.

Ifedayo Olusegun muncul wira Selangor apabila menjaringkan dua gol ketika menewaskan Perak 3-0 di Ipoh.

Ini bermakna, Ifedayo kini menjaringkan 22 gol dalam Liga Super musim ini, dengan baki 3 perlawanan sahaja lagi.

Selangor mendahului menerusi sepakan Oliver Buff pada minit ke-42 sebelum Ifedayo menanduk masuk gol kedua Red Giants pada masa tambahan separuh masa pertama.

Ifedayo melengkapkan kemenangan Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60.

Selangor kini melonjak ke tangga ke-3 dengan 32 mata selepas 19 perlawanan manakala Perak kekal di tangga kedua tercorot liga dengan 13 mata selepas 19 perlawanan.