Premier League Berita

[VIDEO] Musim baru, Arsenal masih sama

Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 2-0 kepada Brentford dalam perlawanan pembukaan Premier League awal pagi tadi.

Sergi Canos menjaringkan gol pertama musim baharu ini apabila sepakannya dari sudut sukar berjaya menembusi gawang penjaga gol Arsenal, Bernd Leno pada minit ke-22.

Arsenal yang bergelut untuk mencari gol penyamaan sepanjang perlawanan sekali lagi dikejutkan dengan kelemahan pertahanan apabila lontaran jauh gagal dikeluarkan oleh pertahanan Arsenal sehingga Christian Norgaard mudah menanduk masuk gol kedua, sekaligus melengkapkan kemenangan Brentford dalam perlawanan pertamanya musim ini.

Ini juga merupakan kemenangan manis buat Brentford setelah 74 tahun berada di liga bawahan dan kini beraksi di Premier League buat pertama kali sejak musim 1946-47.

“Saya fikir kami layak menang,” kata ketua jurulatih Brentford, Thomas Frank.

“Apa yang saya gemari adalah betapa beraninya kami, bermain dengan tinggi ke depan dan berusaha untuk bermain. Pemain beraksi dengan luar biasa, mereka berlari ke depan dan bermain dengan penuh semangat.

“Dalam situasi bola mati, saya fikir kami lebih baik, itulah sebabnya kami boleh melakukan lontaran jauh dan kadang-kadang kami boleh melambung tinggi dan tahu bahawa kami dapat memenangi bola dan menciptakan peluang.”

Mikel Arteta bagaimanapun tidak begitu bimbang dengan kekalahan tersebut.

“Kami memulakan musim menentang lawan yang bagus. Saya rasa kami tidak layak mendapat sesuatu dari perlawanan ini,” katanya. “Mereka menjaringkan gol dari jarak jauh dan kami tidak mempunyai pemain dalam kotak penalti.

“Pemain muda kami sudah bermain bersungguh-sungguh. Bagi sebilangan mereka, ini adalah pengalaman pertama mereka dalam liga dan itu sendiri cukup untuk menggambarkan keputusan hari ini.”

 

Arsenal seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada Chelsea pada 22 Ogos, sementara Brentford akan berkunjung ke Crystal Palace sehari sebelumnya.