Malaysia Berita

FAM batal hasrat panggil skuad Harimau Malaya

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa panggilan skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 30 Ogos hingga 7 September depan terpaksa dibatalkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana memberi laluan kepada MFL untuk menghabiskan saingan Liga Malaysia.

Malah, permohonan FAM untuk mengadakan dua perlawanan antarabangsa dalam tempoh jendela FIFA masih belum mendapat sebarang kebenaran atau kelonggaran yang diperlukan untuk pengendalian perlawanan itu.

“Disebabkan itu, negara lain yang berkaitan tidak dapat menunggu lebih lama untuk kebenaran yang perlu didapati daripada FAM dan mereka terpaksa membuat keputusan untuk membuat perancangan lain bagi pasukan kebangsaan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

“Fokus FAM kini adalah melakukan perancangan dan persediaan awal untuk mendapatkan pasukan lawan yang baharu bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA berikutnya iaitu dari 4 hingga 12 Oktober depan.

“Ini penting sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan juga Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.

“Pada masa sama, FAM juga berharap permohonan kali ini mendapat perhatian dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa.”

FAM sebelum ini sudah membentangkan kertas cadangan perlawanan persahabatan itu yang turut mendapatkan persetujuan dan kerjasama daripada AFC bagi memperkukuhkan fakta dan hujah mengenai perlawanan secara gelembung bioperubatan.

Malah, AFC dikatakan turut berkongsi butiran SOP, fakta dan pengalaman sepanjang mengendalikan pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan Liga Juara-Juara Asia dengan kaedah gelembung bioperubatan sekali gus mengelak risiko Covid-19.