Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT bangkit dari ketinggalan, kekal pendahulu Liga Super

Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit dari ketinggalan pada separuh masa kedua apabila menewaskan UiTM 3-1 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Tuan rumah ketinggalan selepas pemain import baharu UiTM, Joel Vinicious Silva Dos Anjos berjaya menyudahkan hantaran pemain tengah, Yonhyun Kwon pada minit ke-43.

Namun, JDT menyamakan kedudukan lima minit selepas separuh masa kedua bermula menerusi jaringan Gonzalo Cabrera yang menerima umpanan cantik Arif Aiman Mohd Hanapi.

JDT kemudian mendahului menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-71 sebelum Bergson Da Silva melengkapkan gol kemenangan skuad Harimau Selatan pada minit ke-87.

JDT kekal menerajui takhta liga dengan mengumpul 33 mata, tiga mata di hadapan pencabar terdekat Terengganu.

Sementara itu, Pahang gagal mencipta kemenangan di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Melaka United di Kuantan.

Manuel Hidalgo menjaringkan gol seawal minit pertama namun Pahang dikejutkan dengan gol pemain tengah Melaka, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dua minit sebelum perlawanan tamat.

Pahang kini menduduki tangga ke-9 liga dengan 13 mata manakala Melaka United di tangga ke-10 dengan 12 mata dan UiTM kekal di kedudukan tercorot dengan hanya dua mata.