Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengakui penyokong pasukan Liga Malaysia masih lagi tidak dibenarkan ke stadium menjelang sepak mula pada 24 Julai ini.
Ini meskipun terdapat beberapa negeri yang tidak berada dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak bilangan kes tidak seteruk di Selangor dan Kuala Lumpur.
Namun katanya, perlawanan liga yang akan bersambung hujung bulan ini akan lebih ketat kawalan keselamatan berbanding sebelum ini.
“Paling penting saingan Liga M boleh berlangsung seperti biasa dengan kawalan keselamatan lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19,” katanya kepada Harian Metro.
“Malah, pergerakan pemain dan pegawai pasukan juga dipantau dan memerlukan kebenaran daripada pihak polis untuk merentas negeri jika perlawanan di tempat lawan.
“Sekarang ini juga, semua pasukan berlatih dalam gelembung sukan dengan mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan ahli keluarga atau individu lain sehingga saingan Liga Malaysia tamat.”
Namun, kata Ghani, semua pasukan dibenarkan untuk membuat siaran langsung di laman media sosial untuk baki perlawanan musim ini.
“Pihak MFL berharap ini membolehkan lebih peminat menyaksikan perlawanan dan juga dapat membantu kelab Liga Perdana memberi pulangan komersial kepada penaja masing-masing.”