Jurulatih B-20, Brad Maloney mendedahkan bahawa skuad Piala Asia B-23 akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain pertahanan dari Jerman, V Annil.
Annil beraksi bersama kelab divisyen ke-5 di Jerman, SGV Freiburg dan beliau telah pun dipanggil untuk kem latihan pusat pada September dan Oktober ini.
Katanya, Annil sepatutnya menyertai skuadnya pada Julai tahun lalu namun disebabkan beberapa masalah seperti kuarantin dan pelepasan kelabnya, ia terpaksa ditangguhkan.
“Kali ini kita akan panggil dia dan beri peluang buat Annil untuk menunjukkan potensinya,” katanya kepada Harian Metro.
“Walaupun dia beraksi di Jerman, itu bukan laluan khas untuknya sertai pasukan kerana dia perlu tunjukkan kemampuannya.
“Namun pengalaman bermain di sana adalah kelebihan buatnya apabila bersaing nanti.”
Tambah Maloney, selain Annil dan Luqman Hakim Shamsudin, terdapat beberapa lagi pemain berpangkalan di Eropah akan dipanggil seperti Omar Raiyan Kama Azlan dan Adam Hamid.
“Omar dan Adam pula memang kami sedang monitor dan kami juga berhubung dengan salah seorang ejen mereka. Saya pernah lihat Omar sebelum ini manakala Adam pernah berlatih bersama kami dalam satu ‘call up’ sebelum ini.”