Benjamin Mora mengakui JDT terpaksa mengubah barisan pemain pertahanan apabila turun berdepan Pohang Steelers pada aksi pusingan kedua Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam ini.
Ini kerana Mauricio dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menjalani penggantungan selepas mengumpul dua kad kuning.
“Kami tidak dapat turunkan Mauricio kerana di gantung satu perlawanan tapi kami sudah kenal pasti pemain yang akan mengisi kekosongan tempatnya untuk bergandingan bersama Shane Lowry,” katanya kepada Berita Harian.
“Malah posisi Azrif juga ada pengganti.”
Selepas tewas 4-1 kepada Pohang sebelum ini, Mora yakin JDT akan beraksi lebih baik pada malam ini.
“Ini adalah kali kedua kami menentang Pohang. Sudah tentu ia peluang terbaik untuk menebus kesilapan pada pusingan pertama sekali gus memperbaiki corak permainan yang lebih konsisten. Malah kami tahu cara mereka beraksi.
“Kami bersaing di pentas ACL semestinya mahu buktikan sesuatu dan ia bukan sekadar melengkapkan jadual perlawanan. Kami pasti akan turun dengan lebih mantap pada tiga aksi seterusnya bermula dengan menentang kelab dari Korea Selatan itu.”
Dalam pada itu, kapten pasukan Farizal Marlias berharap beliau tidak perlu mengutip bola empat kali daripada gawang golnya.
“Ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan lalu. Kami berada di landasan terbaik untuk menang pada aksi lalu selepas mendahului 1-0, namun tiga sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan meranapkan segala harapan.
“Itulah bola sepak, namun aksi kali kedua adalah episod berbeza kerana kami perlu raih mata penuh untuk kekal bersaing di pentas ACL. Harapan kami adalah untuk melakar kejutan.”