Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan sulung dalam saingan AFC Champions League musim ini selepas menewaskan kelab Thailand, Ratchaburi FC, 1-0, pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi.
Jaringan tunggal pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada separuh masa kedua perlawanan sudah cukup membantu JDT, yang sebelum ini tewas tipis 0-1 di tangan pasukan Jepun, Nagoya Grampus untuk memperoleh tiga mata berharga dalam aksi kedua saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC musim ini.
Sebaik sahaja perlawanan bermula, Ratchaburi FC tidak menunggu lama untuk melaungkan amaran awal pada minit keempat namun percubaaan dari luar kotak penalti oleh penyerang import, Junior Mpia Mapuku hanya tepat ke dalam dakapan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.
Tersentak dengan percubaan Junior, JDT yang dilihat menguasai babak pertama perlawanan terus melancarkan asakan demi asakan ke kubu Ratchaburi FC kendalian Sek-san Siripong itu.
Bagaimanapun, penyerang import JDT, Bergson Da Silva harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang pada babak pertama untuk meletakkan pasukan kendalian Benjamin Mora itu di depan.
Bergson berpeluang membuka tirai jaringan pasukan Harimau Selatan pada minit ke-18 tetapi rembatan kencangnya menggegar palang gol manakala sepakan penalti diambilnya pada minit ke-27 ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan, Kampol Pathom-attakul selepas pemain dari Brazil itu dijatuhkan pemain pertahanan, Pawee Tanthatemee.
Bergson sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun percubaannya berjaya ditepis Kampol pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, JDT hanya mengambil masa seminit untuk memecah kebuntuan apabila Leandro bijak memusingkan badannya sebelum melepaskan satu rembatan cantik bagi jaringan pertama pasukannya pada saingan musim ini.
Leandro kemudian mempunyai peluang untuk menggandakan jaringan buat JDT namun percubaannya tersasar di sebelah kanan gol lawan pada minit ke-51 manakala sepakan lencong dari Muhammad Safawi Rasid juga sedikit tersasar di posisi yang sama pada minit ke-68.
Ratchaburi FC yang mendominasi perlawanan pada 20 minit terakhir untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan gagal menembusi tembok pertahanan JDT manakala percubaan Safawi pada minit keempat masa kecederaan separuh masa kedua hanya terkena tiang gol kanan lawan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Nagoya Grampus mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mudah menewaskan Pohang Steelers 3-0.
Setakat ini, Nagoya Grampus mengumpul enam mata untuk kekal mendahului Kumpulan G manakala perbezaan jaringan meletakkan JDT di tempat kedua dengan tiga mata diikuti Pohang Steelers di tempat ketiga juga dengan tiga mata dan Ratchaburi kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.