Sarawak United adalah pasukan Liga Malaysia terbaru yang diminta oleh FIFA supaya membayar tuntutan gaji bekas jurulatih mereka, Juan Carlos Margo bernilai RM200,000.
Pasukan itu turut dikenakan larangan perpindahan pemain untuk musim Liga Malaysia 2022.
Margo merupakan bekas jurulatih muda Valencia dilantik sebagai jurulatih utama pada musim lalu, namun kontraknya ditamatkan setelah Sarawak United mengalami tiga kekalahan berturut-turut ketika pra-musim.
Presiden FAS, Datuk Posa Majais mengesahkan perkara tersebut namun meminta supaya mereka dapat membayar separuh daripada tuntutan tersebut.
“Kami memohon untuk membayar separuh. Jumlah yang dituntut adalah RM200,000,” katanya kepada NST.
“Ini adalah pengajaran kepada kita dan apa pun keadaannya, kita akan menyelesaikannya sebelum larangan perpindahan dapat dilaksanakan.”
Bagaimanapun, Sarawak United masih mempunyai masalah tunggakan gaji, malah dikatakan bahawa pemain yang dilahirkan di Sarawak, dibayar terlebih dahulu sementara yang lain masih menunggu gaji mereka.
Namun, Posa menolak tuduhan tersebut.
“Kami tidak ada pilih kasih. Sebilangan gaji pemain kelahiran Sarawak adalah kecil, dari RM2,000-RM4,000. Gaji kecil ini dapat kami bayar.
“Untuk pemain dengan gaji yang lebih besar, ada yang kami bayar penuh dan ada yang separuh. Tidak ada pilih kasih.”