Eropah Berita

Euro 2020: Christian Eriksen alami cardiac arrest, Denmark dikejutkan Finland

Dua kejutan besar berlaku dalam perlawanan pembukaan Euro 2020 Kumpulan B antara Denmark dan Finland, pagi tadi.

Pertamanya, Finland meraih kemenangan 1-0 ke atas Denmark hasil jaringan tunggal Joel Pohjanpalo, pertama kali ia berlaku dalam sejarah.

Yang kedua, kemenangan itu dibayangi dengan insiden Christian Eriksen yang tiba-tiba rebah dengan mata terbuka pada minit ke-43 kerana mengalami ‘sudden cardiac arrest’ atau jantung terhenti, memerlukan rawatan perubatan kecemasan di atas padang.

Eriksen diberi CPR oleh pasukan perubatan sebelum dia dibawa ke hospital dan kedua-dua pasukan bertindak meninggalkan padang buat sementara waktu.

Perlawanan dihentikan untuk jangka masa yang lama, sebelum pihak stadium mengumumkan bahawa Eriksen telah dibawa ke hospital.

Peminat Finland mula melaungkan “Christian” dan peminat Denmark menjawab dengan “Eriksen” dengan 16,000 penonton yang hadir menunggu untuk mengetahui sama ada perlawanan akan disambung semula.

Berita baiknya, Eriksen sedar dan mampu berkomunikasi, dan perlawanan bersambung semula.

“Kami telah menghubungi dia,” kata pengarah Denmark FA, Peter Mueller.

“Para pemain telah bercakap dengan Christian. Itulah khabar baiknya. Dia bermain dengan baik dan mereka bermain untuk Christian.”

Para pemain kembali ke padang dan menjalani latihan pemanasan mereka untuk kali kedua tetapi pasukan Denmark jelas terkesan dengan insiden Eriksen, beberapa pemain dilihat menitiskan air mata dan saling berpelukan.

Penyerang Finland, Pohjanpalo yang menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-59 meraikan dengan penuh hormat di sisi padang di mana Eriksen rebah.

Denmark mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan namun Pierre Emil Hojbjerg gagal menyempurnakan sepakan penalti.

“Ada pemain yang benar-benar terkesan,” kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand.

“Mereka saling bertahan. Ini adalah pengalaman traumatik.”

“Tidak kira apa terjadi, semuanya akan okay. Kami harus memberi ruang kepada emosi.

“Anda tidak boleh bermain perlawanan bola sepak pada tahap ini tanpa menjadi agresif. Itu tidak dapat dilakukan.”

Hjulmand juga mendedahkan bahawa kapten pasukan, Simon Kjaer, yang merupakan sahabat baik Eriksen, terpaksa digantikan selepas perlawanan bersambung semula.

“Simon sangat, sangat terkesan. Sangat terjejas. Dia ragu-ragu sama ada dia dapat meneruskannya dan cuba melakukannya, tetapi dia tidak dapat lakukannya.”

Bagi Finland, ia meletakkan mereka di kedudukan yang baik untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati, tetapi ia bukanlah perkara yang paling penting kepada mereka ketika ini.

“Hari ini kita semua pemenang selagi proses pemulihan berjalan,” kata penjaga gol Lukas Hradecky yang merujuk kepada insiden Eriksen.

“Semua perkara yang berlaku adalah bonus dan tidak begitu penting.

“Bilik persalinan dalam keadaan suram dan kami semua berfikir ‘Apa yang akan berlaku sekarang?’ Dan berharap semuanya akan baik-baik sahaja. Ia adalah hari yang sangat sukar.”