
Penantian peminat berakhir jua apabila Dion Cools membuat keputusan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Ia satu berita yang pastinya menggembirakan seluruh peminat bola sepak Malaysia, setelah bertahun-tahun Cools diajak untuk mewakili Malaysia.
Bukan sahaja peminat, FAM juga sentiasa memantau perkembangan Cools.
“Alhamdulillah, pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools telah bersama pasukan di Dubai, UAE, hari ini dan secara rasmi sah diumum sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Ini berikutan selepas segala proses dokumentasi di peringkat FIFA dan AFC, terutamanya berhubung status kelayakannya, pendaftaran dan lain-lain telah selesai.
“Dengan kehadiran beliau, ia akan dapat memberi nilai tambah serta memperkasakan lagi pasukan Harimau Malaya.
“Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita ini untuk beroleh kejayaan. Amin.”
Cools yang berusia 24 tahun merupakan pemain berdarah campuran Belgium.
Beliau lahir di Kuching, Sarawak dan membesar di Belgium.
Pemain pertahanan kanan itu memulakan karier profesional di OH Leuven pada 2013 sebelum berhijrah ke Club Brugge dan memenangi Liga Belgium pada 2015-2016 dan 2017-2018.
Beliau berhijrah ke kelab Denmark, Midtjylland pada 2020 dan memenangi Superliga.
Ini bermakna beliau menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Sebelum ini beliau mahu melihat peluangnya bersama skuad kebangsaan Belgium terlebih dahulu kerana pernah dipanggil untuk menyertai skuad B-18, B-19 dan B-21.
Namun, setelah bertahun-tahun, beliau langsung tidak dipanggil oleh Belgium malah tidak tersenarai untuk skuad Euro 2020 yang diumumkan pada 17 Mei lalu, kemungkinan menjadi punca beliau memilih untuk mewakili Malaysia.