Tan Cheng Hoe jelas tidak berpuas hati setelah skuad kebangsaan tewas 4-1 kepada Kuwait dalam perlawanan latihan semalam.
Katanya, keputusan itu membuktikan pasukannya masih belum berada di tahap terbaik untuk beraksi dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Secara keseluruhan, kami barisan kejurulatihan masih tidak berpuas hati dengan cara permainan,” katanya ketika bercakap dengan FAM TV.
“Kita belum sampai satu tahap yang terbaik, tetapi kita tahu keputusan itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan moral pasukan.
“Saya rasa pemain berasa kecewa juga dengan keputusan tersebut tetapi yang penting perlawanan seterusnya lawan Bahrain kita akan memperbaiki segala kelemahan kita.”
Beliau juga berharap perlawanan menentang Bahrain akan memberikannya gambaran lebih jelas untuk menyusun kesebelasan utama.
“Kita harap barisan kesebelasan nanti kita akan dapat finalize.
“Kami akan kaji apa kelemahan pasukan, yang penting kita nak tengok pemain-pemain bangkit daripada kekalahan tersebut dan bermain sebagai satu pasukan.
“Sekali lagi kita nak lihat teamwork dan team spirit kembali ke pasukan walaupun saya cuba bagi peluang semua pemain bermain.”
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat jurang besar kualiti pemain yang diturunkan antara separuh masa pertama dan kedua.
“Memang nampak satu gap yang besar separuh masa pertama dan kedua, di situ kami dah boleh tahu secara gambaran pemain kita rasa boleh menggalas sebagai kesebelasan utama pasukan.
“Masih ada memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan pasukan ke tahap yang sebenar,” katanya.