Liga Premier Malaysia Berita

Perak belum dibenarkan daftar pemain baharu, perlu bayar hutang RM1.7 juta

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri G Irudianathan mengakui Perak masih tidak dapat mendaftar pemain baharu kerana belum melangsaikan tunggakan RM1.7 juta.

Ini selepas FIFA mendapati Perak masih belum menjelaskan hutang tersebut yang melibatkan tunggakan gaji beberapa pemain import selain pembayaran kepada ejen pemain.

“Dalam jangka masa seminggu atau dua minggu ini, kita akan berusaha selesaikan masalah dalaman dihadapi Perak FC,” kata Irudianathan kepada Berita Harian.

“Selepas itu mungkin saya akan berbincang dengan beberapa pihak berhubung pengambilan pemain.”

Namun, sekiranya pembayaran masih gagal diselesaikan, maka Perak terpaksa menggunakan khidmat pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Perdana yang akan bermula 5 Mac ini.

“Satu mesyuarat diadakan bersama Impact Media Communication (IMC) dan beberapa pihak lain termasuk pemain berhubung perkara itu baru-baru ini.

“Ada perbincangan berlaku bersama beberapa pihak termasuk pemain dan perkara ini diselesaikan secara dalaman.

“Sekiranya kita tidak dapat bayar, mungkin kita tidak dapat pemain baru. Maka kita gunakan pemain sedia ada untuk menggerakkan pasukan dahulu.”