Skuad kebangsaan Malaysia tiba di di Dubai kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam, waktu tempatan UAE.
Mereka menaiki penerbangan sewa khas MH8436 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.00 pagi dengan membawa 45 pemain serta barisan kejurulatihan yang diketuai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Kemudian, skuad kendalian Tan Cheng Hoe turun menjalani sesi latihan pertama di Dubai, UAE, malam tadi yang disertai tiga pemain yang baru melapor diri iaitu Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan.
Ketiga-tiga terus ke Dubai dari kelab diwakili mereka di Australia dan Thailand.
Seorang lagi pemain, Luqman Hakim Shamsudin dijangka tiba dari Belgium, awal pagi ini bagi melengkapkan skuad 25 pemain Harimau Malaya.
Malaysia akan mengadakan dua perlawanan persahabatan bertemu Kuwait di Dubai dan menentang Bahrain di Manama, Bahrain sebelum memulakan aksi tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai iaitu bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021).