Malaysia Berita

Khalid Jamlus, Hairuddin Omar pertahan pemilihan pemain Tan Cheng Hoe

Dua bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus dan Hairuddin Omar tampil mempertahankan pemilihan pemain Tan Cheng Hoe.

Khalid, 44, yang beraksi sebanyak 25 kali dengan skuad kebangsaan dan menjaringkan 10 gol menyifatkan Cheng Hoe berada dalam keadaan yang sukar kerana mempunyai banyak pilihan.

“Benda ini pernah berlaku sedangkan saya dalam prestasi terbaik,” katanya kepada Astro Arena.

“Walaupun saya menduduki ranking yang baik dalam senarai penjaring ketika itu.

“Mungkin jurulatih mempunyai idea tersendiri untuk memperkasakan pasukannya.

“Jadi saya tiada dalam percaturannya, saya perlu akur. Saya teruskan usaha dan sekiranya dapat panggilan, maka saya akan pergi.”

Pada masa sama, Khalid menganggap Cheng Hoe tidak mempunyai banyak masa memandangkan muka-muka baharu memerlukan masa untuk sesuaikan diri dengan perlawanan antarabangsa dan rakan sepasukan.

“Apa yang berlaku ketika ini ialah dia kesuntukan masa untuk membentuk pemain.

“Dia memerlukan pemain yang memiliki pengalaman di bawah bimbingannya.

“Memang Amri juga berpengalaman, tapi hak milik mutlak Tan Cheng Hoe.”

Bagi Hairuddin, 41, yang beraksi sebanyak 46 kali dengan skuad kebangsaan dan menjaringkan 12 gol berpendapat pemilihan Cheng Hoe juga perlu berdasarkan strategi permainan, bukan berdasarkan prestasi pemain dalam liga semata-mata.

“Cheng Hoe tidak perlu bawa ramai pemain.

“Baddrol Bakhtiar dan Hakimi Abdullah dalam prestasi terbaik tapi dalam masa terdekat, dia tidak perlukan ramai pemain di jentera serangan untuk perlawanan tersebut.

“Mungkin dia memerlukan seorang dua sahaja. Dengan taktikal seorang penyerang yang sering digunakan Cheng Hoe, De Paula dan Syafiq Ahmad sudah mencukupi.

Jadi penyokong jadi terlalu emosi dan melihat skop yang lebih luas.

“Perlawanan menentang UAE adalah penting, bukan masa untuk beri pendedahan atau peluang kepada pemain-pemain.”