
Benjamin Mora mempertahankan prestasi pemain JDT meskipun pasukannya gagal mencatatkan kemenangan dalam perlawanan kedua berturut-turut apabila sekadar seri 1-1 ketika berdepan KL City.
Sebaliknya, Mora menyifatkan barisan pemainnya sudah beraksi dengan baik, namun menganggap nasib tidak menyebelahi mereka.
“KL City beraksi dengan baik, permainannya teratur dan amat mencabar sehingga kita sukar untuk menjaringkan gol.
“Tetapi Gonzalo Cabrera ada membuat sepakan yang terkena tiang, Matthew Davies pun ada membuat tandukan, Arif Aiman juga ada membuat 4 ke 5 hantaran dan kita menekan pihak lawan dengan cukup tinggi, jadi saya tak faham kenapa ada yang bertanya mengenai intensiti JDT.
“Tonton perlawanan itu semula dan ia tidak seperti yang disangkakan, saya hormati pandangan orang lain tetapi soal intensiti adalah sesuatu yang JDT lakukan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Sudah tentu ada masa kita hilang kawalan bola, tetapi tidak ada apa yang benar-benar berlaku, kami cuba tidak boleh menang, itu sahaja.”
Pada masa sama, Mora berpandangan kegagalan JDT meraih tiga mata bukan bermakna JDT tidak berupaya untuk memenangi liga pada musim ini.
“Kita masih lagi pendahulu liga, dan kita sedang cuba pertahankannya.
“Pemain sudah melakukan yang terbaik, cuba menembusi pertahanan, cuba melakukan hantaran sebanyak yang mungkin, serta mengambil peluang menerusi set-piece.
“Gol KL itu itu hanyalah kesilapan kita. Itu tiada kaitan dengan prestasi.
“Kita hanya perlu bangkit, ini bola sepak, ia bergantung kepada situasi dan kita tidak boleh mengawal 100 peratus.
“Kita sudah bermain secara berpasukan tetapi setiap pasukan di dunia pun ada masanya ia merudum.
“Kita sudah lama di atas tapi tidak bolehlah anggap kita ini superman. Ada masanya kita jatuh dalam bola sepak.”