Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: Terengganu kalah tidak ada kena-mengena dengan JDT

Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain enggan mengaitkan kekalahan pasukannya kepada Pulau Pinang dengan pendahulu Liga Super, JDT.

Beliau berkata, Terengganu gagal menyekat kelebihan fizikal yang ada pada pemain import Pulau Pinang sehingga dibolosi dengan begitu mudah.

“Awal minit permainan lagi dah 2-0 dari set piece, ini kelebihan Pulau Pinang, itu yang kita risau sebab mereka ada pemain yang tinggi jadi mereka guna kelebihan itu.

“Bila mula separuh masa kedua, kita mula dengan baik, bagi tekanan tempo permainan lebih pantas dan dapat 2-1, kita yakin boleh comeback.

“Tetapi selepas itu kita melepaskan dua gol mudah, ini dari kesilapan sendiri jadi pemain sedikit kecewa, dan sukar dengan masa yang ada untuk cari gol lagi.

“Jelas Pulau Pinang lebih baik berbanding kita. Tapi game malam ini tak ada kena mengena dengan game lepas menang dengan JDT.”

Bagaimanapun, beliau mengakui Terengganu masih sukar untuk kekal konsisten walaupun sudah mempamerkan prestasi yang baik.

“Kita ada ramai pemain muda tapi mungkin benda ini ada proses untuk belajar. Kalau tengok situasi awal musim, bila kita menang tiga game tiba-tiba kita seri masa lawan Melaka.

“Konsistensi itu penting untuk pasukan. Mungkin selepas menang lawan JDT, expectation terlalu tinggi dan kita pun bermain di depan peminat sendiri, tapi mungkin dari segi overconfidence itu tak ada sangatlah.

“Dalam proses nak dapat konsisten pemain muda boleh belajar dengan pemain berpengalaman.

“Kalau ada pemain pengalaman mereka sudah biasa tapi untuk pemain muda ada naik dan turunnya dan mungkin sebab itu kita tidak bermain seperti biasa di tempat sendiri dan ada tekanan berbanding main di luar.

“Kita tahu kelebihan Pulau Pinang dan kita sudah bersedia, tapi mungkin individu hadapi tekanan dan sukar fokus walaupun kita bersedia. Ini kali pertama kita bolos set-piece, sebelum ni belum pernah dalam musim ini.”

Nafuzi juga mengakui pasukan Terengganu menggunakan strategi yang salah.

“Kita ada peluang untuk jaringkan gol, Pulau Pinang raih gol bukan kerana corak permainan mereka, tetapi sebab kita terlalu menekan sampai di bahagian pertahanan membuat kesilapan.”

Ditanya mengenai sama ada beliau berhasrat untuk mendapatkan pemain import baharu, Nafuzi hanya menyerahkannya kepada pihak pengurusan.

“Untuk menguatkan pasukan lima pemain import itu memang perlu, dari segi itu kita perlu ada tetapi ia bergantung kepada pengurusan dan kita perlu berbincang mengenai perkara ini.

“Biasanya ada berbincang dan kita bersedia awal supaya boleh ambil cepat jadi kita dah bersedia bukan ambil di saat-saat akhir, tengok kesesuaian dengan pasukan.

“Dari segi pemain tengah, pertahanan itu kalau perlu kita ambillah. Chris Herd baru lepas pembedahan, jadi dua bulan dia berehat tapi sukarlah nak kembali dalam masa terdekat.”