Liga Super Malaysia Berita

KBS puas hati peminat JDT berdisiplin, patuh SOP di stadium

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ternyata berpuas hati dengan MFL dalam memastikan segala pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penonton dapat dilaksanakan dengan baik semasa perlawanan JDT bertemu Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Katanya, berdasarkan tinjauan dibuat, JDT didapati telah melakukan pelbagai persediaan termasuk menyediakan seramai 260 petugas keselamatan untuk memantau pematuhan SOP.

“JDT dan peminat JDT telah membuktikan bahawa mereka benar-benar disiplin patuh SOP dan ini akan menjadi pembuka laluan yang mudah untuk stadium-stadium lain meneruskan perlawanan dengan menyaksikan kehadiran penonton,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, MFL dan JDT telah diminta untuk mendokumentasikan segala perjalanan SOP penonton di Stadium Sultan Ibrahim untuk dikemukakan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya dapat meyakinkan mereka berhubung kesiapsiagaan kelab bola sepak dalam mengendalikan pematuhan SOP digariskan.

Pada masa sama, Reezal memberi bayangan bahawa ada kemungkinan pasukan Liga Malaysia akan diberi kebenaran untuk kemasukan penonton tanpa had pada musim ini.

“Cuma dari segi pasukan itu sendiri, kami hendak lihat keupayaan mereka kerana ini juga melibatkan elemen penambahan kos namun dalam mesyuarat yang dilakukan MFL bersama semua pasukan.

“Pada umumnya telah mempunyai persediaan namun persediaan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa supaya apabila berlangsungnya perlawanan mereka boleh patuh.”