Liga Super Malaysia Berita

Kedah menang, Terengganu sekadar seri, Perak kalah teruk kepada KL

Terengganu gagal memintas JDT apabila sekadar seri 1-1 menentang Melaka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Malah, Melaka menjaringkan gol pendahuluan menerusi Alex Goncalves pada minit ke-3 hasil sepakan penalti.

Terengganu hanya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 hasil serangan balas yang akhirnya disudahkan oleh Jordan Mintah.

Pasukan tuan rumah gagal menjaringkan sebarang gol sehinggalah tamat perlawanan, menjadikan kedudukan Terengganu dan JDT kekal berkongsi 10 mata.

Di Alor Setar, Kedah bangkit daripada ketinggalan apabila menewaskan PJ City 3-1 di Stadium Darul Aman.

PJ City mendahului pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-39 yang disempurnakan oleh R. Kogileswaran.

Namun, Kedah bangkit di separuh masa kedua menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-47, Kpah Sherman pada minit ke-52 dan Fayadh Zulkifli pada minit ke-84.

Kedah kini menduduki tempat ke-4 dengan mengumpul 7 mata manakala PJ City berada di tempat ke-6 dengan 5 mata.

Kuala Lumpur pula berjaya mencatatkan kemenangan bergaya apabila mengejutkan Perak 3-0 di Stadium Bolasepak Cheras.

Tuan rumah mendahului pada separuh masa pertama menerusi Dominique Da Sylva pada minit ke-41.

KL City melebarkan jurang jaringan apabila Romel Morales menjaringkan dua gol pada minit ke-46 dan 65.

Ini melonjakkan kedudukan KL di tempat ke-3 dengan 7 mata, manakala Perak berada di tempat ke-10 selepas mengumpul 4 mata.