Liga Super Malaysia Berita

Mora: Pulau Pinang berjaya membuatkan pemain JDT tertekan

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui pasukannya terkesan dengan taktik Pulau Pinang sehingga terpaksa menukar strategi sebelum menang 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

JDT hanya berjaya menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir menerusi Leandro Velazquez yang menjaringkan sepakan penalti dan satu lagi gol dijaringkan oleh Fernando Rodriguez.

Malah, Mora mengakui Pulau Pinang kerap mematikan gerakan di posisi tengah dengan memberi tekanan sehingga sukar buat Natxo Insa, Leandro Velazquez dn Afiq Fazail bebas bergerak.

“Ruang agak terhad terutama di posisi tengah untuk pemain saya bergerak,” katanya kepada Harian Metro.

“Kami terpaksa menarik keluar pemain lawan dan cara itu barulah pemain saya mampu menyusup masuk dengan lebih agresif dan hasilnya dua gol berjaya dijaringkan.

“Saya tidak nafikan pemain lawan pantas bertukar posisi untuk membantu rakan masing-masing dan berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya sehingga menyebabkan pemain JDT tampak beraksi dalam tekanan.

“Apapun, Natxo, Afiq dan Leandro tidak tertipu dengan helah barisan pemain lawan selepas mereka bersungguh-sungguh menguasai posisi tengah dan anda lihat sendiri beberapa umpanan berbahaya mampu dilakukan kepada Fernando dan Safawi.”