Liga Super Malaysia Berita

Selepas dua tahun, Safiq Rahim pulang ke JDT

Safiq Rahim akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke Johor Darul Ta’zim FC, selepas dua tahun mewakili Melaka United.

Malah, beliau menjadi pemain pertama yang menyertai JDT sebanyak dua kali dalam kariernya.

Luciano Figueroa pernah melakukan perkara yang lebih kurang sama, apabila meninggalkan JDT pada 2016 sebelum keluar dari persaraan untuk beraksi dengan JDT pada 2018.

Kepulangan Safiq sememangnya dinanti-nantikan peminat JDT, memandangkan pemain berusia 33 tahun itu merupakan salah seorang pemain yang membantu memulakan revolusi bola sepak Johor pada 2013.

Malah, Safiq berjaya mempamerkan aksi terbaik dan mencapai kemuncak kariernya ketika bersama JDT.

Beliau akan memakai jersi nombor 8 bagi saingan Liga Malaysia musim 2021, seolah-olah memberi bayangan bahawa Safiq akan menjadi sebahagian daripada pasukan kendalian Benjamin Mora berbanding di JDTII.