Liga Super Malaysia Berita

Perak berdepan tunggakan gaji RM3.8 juta

Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain sebelum 7 Februari.

Ini selepas PAFA mempunyai tunggakan gaji pemain dan pegawainya selama sebulan setengah iaitu separuh bayaran bagi bulan November dan Disember berjumlah RM3.8 juta, malah jumlah itu tidak termasuk gaji bagi bulan Januari.

Yadzan berkata isu tunggakan gaji itu telah dinyatakan dalam pembentangan bajet jangka pendek dan jangka panjang PAFA kepada kerajaan negeri Perak baru-baru ini.

“Kami sudah memaklumkan masalah tunggakan gaji ini kepada kerajaan negari, jadi terpulang kepada kerjaaan negeri bagaimana untuk menguruskan hal ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya juga difahamkan, setiausaha PAFA sudah menghantar semua butiran gaji kepada pihak yang berkenaan. Kalau boleh kami mahu masalah ini segera diselesaikan.

“Kami tak mahu ada pemain yang lari pada ketika kami sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji ini.”

Tunggakan gaji itu berlaku sebulan sebelum Ahmad Faizal Azumu kehilangan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak dan kemudian meletakkan jawatan sebagai Presiden PAFA.

Pada masa sama, Yadzan mengakui proses penswastaan dan pemisahan antara kelab bola sepak (FC) dan persatuan bola sepak (FA) masih belum diselesaikan lagi ketika ini.

“FC kena selesaikan dulu… FC is market. FA kita selesaikan juga tahun ini. Boleh namakan siapa yang akan kendalikan FC, saya berlapang dada dan pada mesyuarat dengan Exco, mereka juga perlu berlapang dada.

“Saya nak bezakan antara politik dan FA. Biarlah nampak profesional apabila pasukan bertukar status kepada FC. Yang penting CEO FC yang bakal dilantik nanti dapat mencari dana untuk pasukan.”