Liga Premier Malaysia Berita

Kenali penolong jurulatih Kelantan dari Sepanyol, Pol Corpas

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman membuat keputusan berani apabila melantik Pol Corpas selaku penolong jurulatih kepada Marco Ragini.

Di usia baru mencecah 24 tahun, beliau sepatutnya masih beraksi di atas padang tetapi di usia itulah beliau sudah pun mengorak langkah besar dalam bidang kejurulatihan.

Corpas berasal dari Begur, sebuah daerah kecil dalam wilayah Catalonia yang terletak di Pantai Timur Sepanyol. Ironinya, beliau kini menetap di Pantai Timur Malaysia.


Walaupun bergelar jurulatih muda, beliau mempunyai pengalaman luas. Corpas pernah berkhidmat di Congo, China dan Maghribi.

Sebelum berhijrah ke Kelantan, Corpas merupakan jurulatih di sebuah kelab wanita di Girona serta berkhidmat di Yayasan Marcet yang berpusat di Barcelona.

Yayasan Marcet yang ditubuhkan sejak 1978 telah melahirkan beberapa bakat muda antaranya pemain Sevilla, Oliver Torres, pemain Barcelona, Konrad de La Fuente, pemain Korea Utara, Han Kwang-song dan pemain Borussia Dortmund, Mateu Morey.

Namun, Corpas seorang yang sangat sukakan cabaran, yang menjadi penyebab beliau menerima tawaran Norizam untuk berkhidmat di Kelantan.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk mencuba cabaran yang baru,” kata Corpas kepada L’esportiu.

Beliau sebenarnya sudah tidak sabar untuk berhijrah ke Kelantan, namun terpaksa menunggu lebih lama kerana Covid-19.

“Perpindahan saya berlaku lebih lewat dari yang diharapkan kerana Covid-19, tetapi kami sudah ada di sini.”

Corpas tidak datang dengan seorang diri dari Eropah , sebaliknya beliau ditemani seorang jurulatih fizikal dari Seville, Alberto Linan dan seorang jurulatih penjaga gol Itali untuk berkhidmat dengan Kelantan.


Beliau sedia menyahut cabaran baharu dan berharap dapat membantu Kelantan kembali ke Liga Super.

“Kini kami akan memulakan pra-musim dan liga akan bermula pada bulan Februari dan akan berlangsung sehingga November.

“Liga berlangsung bersama dengan satu piala dan kemudian akan ada lagi piala.

“Sekiranya kami kekal di kedudukan dua teratas liga atau memenangi trofi liga, kami akan naik ke Liga Super.”