Luar Negara Berita

Luqman Hakim biasakan diri dengan corak permainan Eropah

Luqman Hakim Shamsudin mengakui beliau sedang membiasakan dengan corak permainan Eropah.

Pemain berusia 18 tahun itu mendedahkan sejak beliau beraksi di Liga Pro Jupiler dengan KV Kortrijk, beliau mendapati corak permainan Eropah amat menekankan soal kepantasan.

“Banyak benda saya belajar bila sampai di sini,” katanya kepada Harian Metro.

“Paling penting, pemain kena cepat berfikir. Kalau pegang bola lama-lama, memang susah. Di Malaysia, mungkin dah biasa pegang bola lama sikit, tapi di sini tak boleh macam itu.

“Kita kena bergerak pantas selain kena agresif. Macam saya main bahagian atas, lagilah kena cepat. Kalau tak senang-senang saja pertahanan nak rampas bola.”

Luqman berharap beliau dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan Eropah supaya dapat terpilih dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan.

Luqman terpilih sebagai pemain simpanan pada perlawanan menentang KV Oostende namun tidak tersenarai dalam perlawanan berdepan STVV dan Cercle Brugge.

KV Kortrijk tewas dalam empat perlawanan berturut-turut yang menyebabkan pasukan itu jatuh ke tangga ke-14 liga dengan mengumpul 29 mata dalam 23 perlawanan.