Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto mengakui Jorge Pereyra Diaz hampir pasti sertai pasukan dari kepulauan Borneo itu pada saingan Liga Malaysia musim ini.
Katanya, Sabah sudah pun berhubung dengan ejen pemain dari Argentina itu dan mempunyai persetujuan bersama terutamanya berkenaan soal gajinya.
“Keputusan hanya akan dibuat selepas beberapa perkara dimuktamadkan, buat masa ini apa yang saya boleh katakan saya memang berminat dengan dia, corak permainannya sesuai dengan pasukan,” katanya kepada Harian Metro.
Namun, Kurniawan menegaskan penyertaan Diaz tidak dibuat secara semberono sebaliknya dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk tahap disiplin pemain itu.
“Beberapa perkara perlu kita teliti, kita mahu tahu kenapa dia tinggalkan JDT dulu, bagaimana tahap kecergasannya ketika ini, dan adakah beliau cedera atau tidak.
“Semua ini penting dan proses ini juga terpakai kepada semua pemain import yang kita bercadang untuk mengambilnya kerana kita tidak mahu sebarang perkara negatif berlaku ketika saingan nanti termasuk kecederaan dan sebagainya… kita harus pelajari apa yang berlaku musim lalu.”
Diaz, 30, meninggalkan JDT pada 2018 dan sejak itu berkelana di beberapa buah kelab Amerika Selatan.
Ketika ini, beliau sedang beraksi dengan kelab Chile, Club Deportivo San Marcos de Arica.