Sebanyak 6 pasukan Liga Malaysia berjaya memenuhi syarat memperoleh lesen kelab kebangsaan, sekali gus layak beraksi pada saingan Liga Malaysia musim ini.
Enam pasukan berkenaan terdiri daripada dua pasukan Liga Super iaitu Pahang dan Melaka dan empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Sarawak United FC, Pulau Pinang dan Kuching City FC.
Sebelum ini, 6 pasukan Liga Malaysia ini diberi lesen kelab kebangsaan secara bersyarat.
Hanya lesen kelab kebangsaan bersyarat yang diberikan kepada UKM FC ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti segala dokumen yang diterima.
“Selepas mengambil kira situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri sebelum ini, kesemua pasukan tersebut telah diberi lanjutan tarikh akhir ke 31 Disember 2020 akibat kekangan untuk mendapatkan dokumen daripada pihak ketiga bagi memenuhi syarat, sekali gus tidak disifatkan sebagai melanggar syarat yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun, lesen yang diperoleh kesemua enam pasukan di atas ini hanya merupakan lesen kebangsaan FAM dan ia tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).”
Bagaimanapun, Melaka masih mempunyai tunggakan yang perlu dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Walaupun kesemua pasukan tersebut telah berjaya mendapat lesen penuh, pasukan Melaka FA yang masih terdapat tunggakan LHDN dan KWSP sebanyak RM276,169.75 seperti mana yang telah dimaklumkan kepada FIB telah berjaya mendapat perjanjian bersama untuk pembayaran berjadual dan bayaran seterusnya akan dibuat sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Sekiranya Melaka FA gagal membuat bayaran, tindakan-tindakan sanksi termasuk dan tidak terhad kepada penarikan balik lesen boleh dikenakan oleh FIB.”
Sheikh Mohd Nasir berkata pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.
“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Pada masa sama, Sheikh Mohd Nasir menjelaskan Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration (SD) turut diteliti untuk memantau kes tunggakan kepada pemain, pegawai dan agensi kerajaan yang merangkumi tempoh selepas lesen diberi iaitu 1 Julai hingga 30 November tahun berkenaan sebagai langkah proaktif untuk memastikan penyelesaian tunggakan diambil oleh pasukan.
“Berdasarkan SD yang telah diserahkan pada 15 Disember 2020, pasukan Melaka FA, Kelantan FA dan Sarawak United FC telah mengisytiharkan tunggakan pemain dan pegawai dalam tempoh tersebut dan juga dilampirkan persetujuan bersama pegawai dan pemain dan pelan bayaran ansuran bagi tunggakan tersebut.
“Merujuk kepada bukti pembayaran yang diserahkan kepada FAM, Melaka FA sudah berjaya membuat bayaran pertama sebanyak RM476,160.00 dan Kelantan FA pula telah membuat bayaran sebanyak RM44,327.00, manakala bakinya akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah diserahkan.
“Sarawak United FC pula akan memulakan bayaran ansurannya mulai Februari 2021.”
Katanya lagi, pelan pembayaran bagi pasukan-pasukan ini akan dipantau oleh FAM dari semasa ke semasa.
“Sekiranya pasukan-pasukan tersebut gagal untuk membuat pembayaran untuk tunggakan yang diisytiharkan dalam SD itu mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui bersama, sanksi terhadap pasukan tersebut boleh diambil.”