Liga Super Malaysia Berita

JDT lancar Pusat Medikal dan Kecergasan milik sendiri

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) buat pertama kalinya melancarkan Pusat Medikal dan Kecergasan milik kelab itu sendiri.

Pusat itu terletak di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor Bahru dan akan menempatkan para doktor dan pakar fisioterapis sepenuh masa.

“Kami ingin menyediakan kemudahan dan fasiliti-fasiliti yang terbaik untuk para pemain kami,” titah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sesawang pageharimauselatan.com.

“Ini termasuk fasiliti serta peralatan rehabilitasi dan pemulihan agar setiap pemain dapat memberikan prestasi yang terbaik.


“JDT adalah sebuah kelab yang bercita-cita untuk sentiasa meletakkan penanda aras dan meningkatkan standard, bukan sahaja dalam negara, tetapi juga luar negara. Kemudahan fasiliti dan kejayaan kami akan terus membina profil JDT dan membawa manfaat untuk masa depan.”

Pusat Medikal dan Kecergasan JDT ini bakal dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan medikal seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.

Hab ini juga turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.

Semua peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan medikal yang sudah dimiliki JDT sebelum ini.