Liga Super Malaysia Berita

Sumareh senyap-senyap tinggalkan Police Tero

Mohamadou Sumareh dilaporkan telah pun meninggalkan kelab Thailand, Police Tero.

Menurut Goal Thailand, pemain berusia 26 tahun itu membuat keputusan itu selepas tidak ditawarkan sebarang kontrak lanjutan.

Ini bermakna, Sumareh hanya berada di Thailand selama 3 bulan sejak menyertai pasukan itu pada bulan September.

Beliau terpilih hanya sekali dalam kesebelasan utama pasukan Police Tero, manakala 3 perlawanan lagi beliau masuk sebagai pemain gantian atau lebih tepat hanya 111 minit permainan.

Ini kali kedua Sumareh senyap-senyap meninggalkan pasukannya selepas melakukannya dengan Pahang pada bulan Ogos lalu sehingga menimbulkan kontroversi yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam temu bual khas bersama Astro Arena berkata beliau terbuka menerima Sumareh sebagai pemain baharu JDT.

Bagaimanapun, beliau akan meminta ‘restu’ terlebih dahulu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Jika Sumareh nak balik saya kena berbual dengan Pahang dulu. Saya pun sudah tanya Tengku Muda Pahang.

“Kalau dia bersetuju saya akan teruskan. Jika dia tak setuju saya tak buat apa-apa. Saya minta hormat, minta restu dari dia kalau boleh atau tidak.”

TMJ turut menyenaraikan Sumareh sebagai barisan kemungkinan JDT bagi saingan Liga Malaysia musim depan, sebaris dengan Safawi Rasid dan Arif Aiman sebagai pemain sayap kanan.