Malaysia Berita

Namat Abdullah meninggal dunia

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abdullah telah meninggal dunia di Kamunting, Perak, hari ini pada usia 74 tahun.

Allahyarham yang menghidap barah usus dan angin ahmar menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman anaknya, jam 5.30 petang tadi dan jenazah akan dibawa ke Sungai Petani, Kedah untuk dikebumikan di sana, pagi esok.

Namat yang memulakan karier pemain bola sepak dengan Marines Sports Club di Pulau Pinang, mula dikenali ramai ketika beraksi sebagai pemain pasukan Penjara, Pulau Pinang dan Malaysia.

Namat beraksi selaku penyerang ketika membantu Pulau Pinang menjuarai Piala Burnley pada 1965 sebelum beraksi sebagai pertahanan kanan yang mana beliau memenangi Piala Malaysia, muncul juara Pestabola Merdeka dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Tehran semuanya pada tahun yang sama iaitu 1974.

Selain penampilan yang tidak dapat dilupakan di Munich 1972, Pestabola Merdeka edisi 1974 di Ipoh telah membawa kenangan manis buat Namat kerana beliau diberi penghormatan menjulang piala selaku kapten di sebalik ketiadaan M. Chandran.

Beliau kemudian dilantik sebagai kapten Harimau Malaya ketika Pestabola Vietnam pada 1970.

Namat juga dikenang kerana penampilan beliau dan adik-adiknya, Shaharudin dan Ridzuan membintangi skuad Pulau Pinang pada 1970-an. Shaharudin turut mewakili negara ke Sukan Olimpik di Munich.

Namat juga pernah menjulang Piala FAM bersama Penjara pada 1970, 1971 dan 1973.

Allahyarham yang juga bekas Sub-Inspektor di Jabatan Penjara meninggalkan seorang balu iaitu Datin Mahani Sulaiman, tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit.