Liga Super Malaysia Berita

JDT umum kerjasama rasmi dengan UNICEF

JDT mengumumkan kerjasama secara rasmi dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Ini bermakna JDT kini sebaris dengan kelab bola sepak terkemuka dunia Manchester United dan Barcelona yang juga mempunyai kerjasama rasmi dengan badan kemanusiaan antarabangsa tersebut.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kerjasama itu merupakan satu pengiktirafan besar buat JDT apabila dapat bekerjasama dengan salah satu badan organisasi bertaraf dunia yang sudah melakukan pelbagai khidmat kemanusiaan di serata dunia.

“Saya bangga dengan JDT dan sedia bekerjasama dengan UNICEF. Ini merupakan satu kerjasama global.

“Pemain datang dan pergi tetapi kelab akan sentiasa hidup, apa lebih mustahak adalah nilai komersial dan kesedaran jenama serta sumbangan kelab kepada masyarakat dan komuniti,” katanya dalam sidang media.

Pengumuman itu dibuat bersama dengan wakil UNICEF Malaysia, Dr Rashed Mustafa Sawar.

Pada masa sama, TMJ menghargai UNICEF yang memilih JDT untuk bekerjasama bukan sahaja sebagai sebuah kelab bola sepak tetapi sebagai satu jenama.

“Ia merupakan satu penghargaan yang sangat tinggi untuk dapat melakukan gabungan bersama pihak UNICEF, ia merupakan organisasi yang dikenali lebih daripada 20 negara di dunia dan ia adalah langkah terbaik bagi meningkatkan nilai komersial kelab dan kesedaran jenama kelab JDT.

“Kepentingan dan polisi JDT adalah sentiasa melibatkan kanak-kanak di seluruh dunia, apa sahaja yang mampu kami salurkan daripada segi pendidikan, keselamatan, kesedaran dan penjagaan kesihatan, ia merupakan sasaran utama kami. Jadi hari ini merupakan saat yang bersejarah bagi kelab apabila melakukan gabungan bersama UNICEF.

“Ia merupakan penghargaan bagi kelab untuk terlibat dengan projek ini. JDT telah membuktikan kita bukan sekadar pasukan bola sepak tetapi langkah ini merupakan salah satu daripada sumbangan JDT kepada dunia.”