Liga Super Malaysia Berita

KBS kemuka permohonan kehadiran penonton di stadium

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui sudah mengemukakan permohonan untuk membenarkan kehadiran penonton di stadium untuk musim 2021.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam konteks norma baharu yang akan diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengambil kira acara sukan dengan kehadiran penonton.

Ia melibatkan kesemua acara sukan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang bakal ditetapkan.

“Kalendar sukan 2021 tidak seharusnya menghadapi ‘butang henti’ lagi kerana rakyat akan hadapi cabaran,” katanya kepada Bernama.

“Suka atau tidak, kita akan hidup dengan COVID-19 dan ia tidak akan hilang.

“Kita sudah kemukakan dan ia dalam pertimbangan dan saya nampak ada petunjuk kalendar sukan 2021 akan menyaksikan aktiviti dan kegiatan sukan kembali aktif.”

Katanya lagi, perkara itu sedikit sebanyak akan memberi industri sukan ruang untuk kembali bernafas lebih baik selepas terjejas sepanjang tahun susulan penularan COVID-19.

Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan satu SOP baharu sedang dirangka untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium dengan jumlah tidak melebihi 10 peratus daripada kapasiti sesebuah stadium.

“Berita gembira, SOP sedang dibuat. Akan datang, bola sepak akan kembali kali ini dengan penyokong 10 peratus daripada kapasiti stadium,” kata Tunku Ismail dalam laman Instagram miliknya.