Liga Super Malaysia Berita

Skuad Projek FAM-MSN ditubuhkan, bakal bersaing Liga Premier musim depan

FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan kerjasama dengan membentuk sebuah pasukan B-20 yang bersifat pembangunan bergelar Skuad Projek FAM-MSN.

Penyertaan skuad projek FAM-MSN ke dalam Liga Premier pada musim depan diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan Malaysian Football League (MFL), penganjur liga, baru-baru ini.

Ini bermakna ia akan menjadi skuad sama seperti Harimau Muda yang pernah ditubuhkan pada 2009 dan dibubarkan pada 2015 namun kini ia dihidupkan semula.

FAM dalam kenyataan berkata, ia bagi mencipta laluan kerjaya produk NFDP, termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari ini.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Yusri Che Lah yang sebelum ini mengendalikan pasukan Kelantan dilantik sebagai ketua jurulatih kepada pasukan yang menjadi pasukan ke-11 beraksi dalam Liga Premier.

Keputusan ini dibuat selepas beberapa siri perbincangan dan sumbang saran di antara pihak FAM dan MSN sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan kelompok terpilih lepasan NFDP dan AMD tidak terlepas aksi kompetitif pada usia 18-20 tahun.

Sebagai tanda kerjasama, Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican melancarkan logo pasukan yang menggabungkan ciri-ciri logo AMD dan NFDP dengan panji-panji negara.

“Player’s Pathway atau laluan kerjaya pemain penting dalam ekosistem pembangunan bola sepak negara. Pemain yang berpotensi sudah tentu dikenal pasti lebih awal oleh pasukan-pasukan dalam saingan liga tempatan, tetapi bagi kelompok yang lambat matang, mereka akan mempunyai peluang kedua memastikan mereka terpilih menyertai skuad projek ini.

“Secara tidak langsung, program ini menjadi platform kesinambungan kepada pembangunan pemain memasuki tahap kompetitif di peringkat remaja kebangsaan,” katanya.

Bagi Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin, jalinan kerjasama bersama MSN ini menghidupkan semula persekitaran yang membawa kepada penghasilan generasi pemain yang menjadi teras kepada skuad negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF 2010 serta mengisi kelompongan untuk lepasan NFDP dalam struktur sedia ada.

“Selain melepaskan produk terbaik NFDP ke dalam pasaran liga sedia ada, FAM mengambil kira hakikat ada pemain berbakat yang mahu mengimbangi kerjaya dengan tuntutan akademik, maka tawaran biasiswa yang disediakan dianggap sebagai nilai tambah untuk skuad ini.”

Generasi terbaik lepasan NFDP yang berjaya menempatkan diri dalam Liga Super dan Liga Premier boleh diserapkan ke dalam skuad projek ini secara pinjaman, tertakluk kepada prestasi mereka dan persetujuan antara majikan mereka dan pengurusan skuad projek ini.

Sekalipun skuad ini bukan pasukan kebangsaan sebenar, kelompok pemain usia ini yang cemerlang akan dijadikan sebagai teras skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021, pusingan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2022, Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan SEA Kemboja 2023 dan kelayakan AFC Bawah 23 tahun pada 2024 serta saingan peringkat AFF.

Tugas pertama Yusri adalah meninjau bakat dalam proses pemilihan bermula minggu ini dan beliau dijangka menamakan senarai anggota skuad dengan menyerapkan kelompok pemain generasi kedua lulusan AMD sebagai teras.

Yusri akan dibantu oleh panel kejurulatihan yang dianggotai Noor Zaidi Rohmat sebagai penolong jurulatih, Hamsani Ahmad (jurulatih penjaga gol) dan Nor Ikhmar Madarsa (jurulatih suaian fizikal), dengan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai anggota sokongan sains, perubatan dan teknologi sukan.

FAM dan KBS melalui MSN turut bersetuju membentuk jawatankuasa pengurusan pasukan yang dipengerusikan oleh pengurus pasukan, Mohd Joehari Mohd Ayub, yang juga Naib Presiden FAM dan penaja dan rakan pendidikan akan diumumkan pada masa terdekat.

Sesi pemilihan pemain mengikut zon

AMD Gambang: 11-12 Disember di AMD, Pahang

Zon Pantai Timur: 13-14 Disember di Kuala Terengganu, Terengganu

Zon Selatan: 15-16 Disember di Melaka

Zon Tengah: 18-19 Disember di Bukit Jalil @ Putrajaya

Zon Utara: 21-22 Disember di Alor Setar, Kedah

Pemilihan Akhir: 7-9 Januari 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.