Liga Premier Malaysia Berita

Akira Higashiyama: Revolusi Jepun di Kelantan United

Kelantan United menarik perhatian peminat bola sepak tempatan apabila melantik jurulatih berusia 31 tahun, Akira Higashiyama sebagai ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

Akira menjadi jurulatih import pertama yang dilantik Kelantan United, bagi menggantikan Zahasmi Ismail yang dipecat ekoran prestasi buruk dan digantikan oleh Nazrulerwan Makmor secara interim musim ini.

Beliau menandatangani kontrak selama setahun dan mengetuai sesi latihan pertama pada 21 Disember ini.

Presiden Kelantan United, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pelantikan Akira itu dibuat berdasarkan prestasinya sebagai jurulatih Kuching FA, apabila berjaya membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Premier di tangga ke-4 pada musim 2020.

“Walaupun muda, beliau memperlihatkan prestasi yang cukup baik pada musim lepas,” katanya kepada Bernama.

“Beliau bersama dengan Kuching FA membawa satu perubahan drastik terhadap corak permainan pasukan itu.

“Apabila diberikan tanggungjawab sepenuhnya membimbing Kuching FA pada perlawanan-perlawanan terakhir saingan Liga Premier, beliau menghadiahkan kemenangan sehingga membawa Kuching FA layak beraksi pada cabaran Piala Malaysia.”

Che Abdullah juga mengakui pelantikan Akira menunjukkan Kelantan United serius untuk bersaing dalam Liga Premier pada saingan musim depan.

“Keputusan kita ambil Akira diatas keyakinan bahawa orang Jepun kerja kuat dan bersungguh dalam melaksanakan kerja dan sebagainya, ia memperlihatkan keseriusan kami untuk meberikan cabaran sengit pada saingan liga 2021.

“Tentang baki tiga lagi pemain import kami akan membuat penilaian bersama Akira, kami berharap Akira mampu membawa perubahan kepada Kelantan United.”

Pelantikan Akira merupakan sebahagian daripada perjanjian bersama Yakult yang turut menaja untuk menandatangani pemain import Jepun, Yuki Tanigawa yang beraksi dibawah kendalian Akira di Kuching FA.