Malaysia Berita

Kerteh Soccer School diiktiraf FAM

Sekolah pembangunan bola sepak Kerteh FC iaitu Kerteh Soccer School telah mendapat pengiktirafan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai Ahli Gangsa Piagam SupaRimau FAM.

Ahli Gangsa merupakan kategori asas piagam tersebut yang diberikan kepada akademi bola sepak yang menekankan kepada asas yang kuat untuk pertumbuhan masa depan.

Ini bermakna Kerteh Soccer School layak menggunakan piagam itu untuk tujuan promosi sekali gus mendorong usahawan tempatan dan penaja untuk sama-sama menyokong program akar umbi.

Malah, Kerteh Soccer School juga layak menyertai Liga Akar Umbi FAM atau Liga SupaRimau yang menyediakan persaingan menyeluruh dan mencorak perjalanan karier pemain.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerusi surat kepada Kerteh FC memaklumkan bahawa permohonan Kerteh Soccer School telah diluluskan pada 30 September lalu dan akan membuat penilaian semula sebelum 31 Disember 2021.

Pengurus Akademi Kerteh Soccer School, Mohd Ridzuan Mansor berkata pengiktirafan dari FAM itu adalah satu kebanggaan buat mereka.

“Pengiktirafan oleh FAM ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi Kerteh Soccer School sekali gus menyemarakkan lagi semangat kami untuk mencungkil bakat-bakat muda,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, akademi itu yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang berpotensi berjaya menarik minat hampir 120 orang penyertaan.

“Bagi menyokong perkembangan program ini, kami telah merancang beberapa perkara khusus pada tahun hadapan antaranya pembukaan cawangan Kerteh Soccer School di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Keistimewaan memperoleh piagam ini, akademi yang melabur dalam latihan dan pendidikan pemain muda harus diberi penghargaan sekiranya satu pemainnya berjaya menjadi profesional.

Faedah istimewa dan menarik untuk semua jurulatih dan pemain akademik akar umbi bersama rakan premium FAM SupaRimau namun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.