Liga Super Malaysia Berita

Sathia gesa FAM, MFL saring jurulatih asing tidak berkualiti

B Sathiananthan meluahkan rasa hairan terhadap pendekatan beberapa pasukan Liga Malaysia yang mahu melantik jurulatih asing yang hanya mengendalikan kelab dari divisyen yang rendah, berbanding mengambil jurulatih tempatan.

Dalam Liga Super contohnya, hanya Terengganu (Nafuzi Zain) dan PJ City FC (P. Maniam) yang dikendalikan oleh jurulatih tempatan.

Selangor pula melantik jurulatih Jerman, Karsten Neitzel manakala KL melantik jurulatih dari Chile iaitu Simon Elissetche, namun kedua-duanya hanya pernah mengendalikan pasukan dari liga divisyen bawahan.

Johor Darul Ta’zim (Benjamin Mora), Kedah (Aidil Sharin Sahak), Perak (Mehmet Durakovic), UiTM FC (Frank Bernhardt) turut menggunakan perkhidmatan jurulatih asing untuk tahun hadapan.

“Saya tidak menentang jurulatih asing. Namun, ada yang tidak mempunyai kualiti untuk membantu liga berkembang dengan sewajarnya,” katanya kepada NST.

“Jurulatih tempatan terpaksa berjuang untuk mendapatkan pasukan untuk musim baru kerana banyak pasukan lebih suka kepakaran asing.

“Jurulatih asing yang berpengalaman tidak akan datang dengan harga murah. Beberapa pasukan telah melantik jurulatih asing yang belum pernah kita dengar sebelum ini.

“Satu pasukan itu ambil jurulatih yang menguruskan kelab dalam liga amatur di luar negara. Saya juga mendengar bahawa pasukan lain telah melantik jurulatih dari pasukan divisyen dua di luar negara.

“Walaupun semuanya memiliki lesen pro, mereka tidak mempunyai kualiti.”

Justeru, Sathia berkata beliau selaku wakil Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia akan mencadangkan kepada MFL dan FAM dalam usaha untuk menyaring kualiti jurulatih asing.

“Pelatih asing yang berkualiti tidak akan datang ke Liga Malaysia untuk gaji yang rendah.

“Jadi, mengapa ada yang datang ke sini untuk gaji kecil? Ini membingungkan apabila beberapa pasukan mengambil jurulatih asing yang berkualiti rendah.

“Kami akan membuat kerangka kerja untuk mengklasifikasikan jurulatih dari benua lain. Kami juga akan lakukannya berdasarkan ranking FIFA.”