Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan bakal lantik jurulatih dari Itali

Kelantan FC dilaporkan akan melantik seorang jurulatih dari Itali untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Ini bagi menggantikan Yusri Che Lah dan tiga pembantunya Tengku Hazman Raja Hassan, Azli Mahmood dan Ismail Chawalit Abu Bakar yang tidak disambung kontrak.

Menurut laporan dari Bernama, rundingan dengan calon ketua jurulatih itu sudah masuk ke fasa terakhir, malah jurulatih itu menunjukkan minat untuk mengendali Kelantan.

“Jurulatih itu dilihat selesa dengan tawaran yang diberikan oleh Kelantan serta bersedia untuk menerapkan corak permainan baharu,” kata pemilik pasukan, Norizam Tukiman.

“Saya juga sedang melengkapkan senarai penolong jurulatih untuk bersama dengan pengendali dari Itali itu nanti.”

Norizam berkata jika rundingan itu berjaya, pihaknya akan mengumumkan senarai penuh barisan jurulatih Kelantan musim 2021.

“Saya yakin barisan jurulatih yang dipilih itu mampu melaksanakan tugas dengan baik dalam usaha membawa masuk perubahan kepada permainan pasukan musim depan.

“Saya berharap seluruh penyokong dapat berdiri teguh dalam mengembalikan semula Kelantan FC ke landasan mentaliti kejuaraan.

“Sekarang ini perlu akui pasukan ketinggalan, saya mahu pemain bangkit untuk memastikan kita berjaya menang.

“Buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan jurulatih itu…sabar apabila selesai nanti kita akam umum.”

Kelantan menamatkan saingan di kedudukan keenam dalam saingan Liga Premier sekali gus layak ke Piala Malaysia musim ini.