Luar Negara Berita

Piala Portugal: Portimonense kalah kepada kelab divisyen ke-3

Portimonense SC mengalami kekalahan memalukan apabila tewas 1-0 kepada UD Leiria, sebuah kelab dari liga divisyen ketiga Portugal awal pagi tadi.

Perlawanan pusingan ketiga Piala Portugal itu sepatutnya menjadi peluang buat Safawi Rasid untuk membuat penampilan pertama, namun hajat itu belum kesampaian.

Jurulatih Portimonense, Antonio Folha membuat tiga pertukaran pemain, namun langsung tidak memilih Safawi yang kekal di bangku simpanan sehingga ke wisel penamat.

Dalam keadaan Portimonense bergelut untuk menjaringkan gol sejak bermulanya perlawanan, UD Leiria membuat kejutan apabila berjaya membolosi gawang gol menerusi Rui Gomes, 10 minit sebelum perlawanan berakhir.

Portimonense bagaimanapun gagal menjaringkan gol penyamaan sehingga ke wisel penamat, menyaksikan UD Leiria layak ke pusingan seterusnya.

Apa yang lebih memalukan, UD Leiria sekadar berada di tempat ke-9 dalam Serie E, Campeonato de Portugal.

Ini juga bermakna Portimonense mengalami kekalahan empat kali berturut-turut setakat ini.