Liga Super Malaysia Berita

FAM tolak rayuan, UKM FC dan Felda United beraksi di Liga M3 musim depan

Setiausaha Agung Persatuan FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan rayuan UKM FC dan Felda United berhubung proses penswastaan kelab telah ditolak.

Ini selepas kedua-dua pasukan didapati tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk menampung kos operasi sepanjang musim 2021.

“Kita sudah meneliti rayuan yang dikemukakan,” katanya kepada Harian Metro.

“Tetapi rayuan dua pasukan itu ditolak. Keputusan ini muktamad dan mereka tidak akan beraksi dalam Liga M 2021.

“Walaupun mereka datang dengan penajaan baharu atau sebagainya, kita tidak akan terima.”

Bagaimanapun, status UKM FC dan Felda tidak tergantung begitu sahaja sebaliknya hanya disingkirkan ke Liga M3.

“Mereka hanya tidak dibenarkan bermain dalam Liga Super atau Liga Perdana tetapi masih lagi boleh bermain di Liga M3 sekiranya mereka mahu terus beraksi.

“Kalau mereka mahu kembali beraksi di Liga Perdana pada masa akan datang, mereka tetap perlu mengikuti proses yang sama dan mengharungi proses penswastaan juga.”

Penolakan rayuan itu bermakna Liga Perdana kekurangan dua pasukan, setelah Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan beraksi di Liga Super musim depan, manakala Felda tersingkir ke Liga Perdana.

Adakah liga divisyen kedua itu akan diteruskan dengan 10 pasukan musim depan?