Kuala Lumpur dilaporkan berminat untuk mendapatkan jurulatih dari Lebanon, Bassem Marmar yang pernah mengendali pasukannya Al Ahed memenangi Piala AFC 2019.
Ini selepas Nidzam Adzha Yusoff tidak layak mengendali KL untuk saingan Liga Super musim 2021 kerana tidak memiliki lesen Diploma Profesional Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Disebabkan itu, ia memaksa KL untuk mendapatkan khidmat jurulatih yang mempunyai kelayakan tersebut.
Namun menurut Presiden Persatuan Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad, pihaknya mahu mendapatkan jurulatih dari Asia.
“Negeri dari mana tidak penting sangat tetapi sebaik-baiknya dari kawasan Asia,” katanya kepada Astro Arena.
“Kami tidak mahu membawa jurulatih dari Eropah contohnya dan apabila datang ke sini, dia tidak sesuai dengan cara hidup dan budaya kita.
“Benda ini perlu diambil kira selain daripada soal gaji kerana peruntukan masih lagi penting.”
Pengambilan jurulatih asing itu juga disahkan oleh Nidzam, meskipun beliau mencadangkan kepada pihak pengurusan supaya melantik jurulatih tempatan.
“Saya difahamkan Kuala Lumpur akan ambil jurulatih luar. Saya bersedia dan akan cuba sesuaikan diri dengan secepat mungkin.
“Tetapi saya menyarankan KLFA melantik jurulatih tempatan sebab dia lebih mengetahui kita, pemain dan corak permainan Liga Malaysia.”