Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam mendedahkan hanya FIFA yang boleh membuat keputusan berhubung pertikaian antara Mohamadou Sumareh dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Beliau akui telah menerima surat keputusan Jawatankuasa Tatatertib PBNP yang mahu mengenakan hukuman gantung dua tahun terhadap Sumareh atas empat kesalahan melanggar kontraknya.
Namun, Stuart menjelaskan kes itu kini dalam siasatan FIFA dan sebarang tindakan mahupun hukuman di peringkat domestik hanya akan dibuat berdasarkan keputusan tersebut.
“Pertikaian antara PBNP dan Sumareh kini dalam siasatan FIFA,” katanya kepada Bernama.
“FAM perlu menghormati proses perundangan badan induk dunia terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Justeru untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, FAM tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung perkara ini sehingga FIFA membuat keputusan di peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA.”
Jawatankuasa Tatatertib PBNP mendapati Sumareh, 26, bersalah terhadap empat kesalahan dan mengenakan hukuman gantung dua tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak bagi setiap kesalahan tersebut.
Sumareh melengkapkan perpindahan mengejut ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 Sept lalu, dalam tempoh dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan pemain kelahiran Gambia itu tidak menjalani sesi latihan berpasukan selama sebulan, sejak awal Ogos lepas.
Sumareh yang mula menyarung jersi Tok Gajah pada 2017 dilaporkan telah menghantar surat pembatalan kontrak kepada PBNP pada 4 Ogos berdasarkan klausa 8.6 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukan tidak membayar gaji lebih daripada satu kali.
Bagaimanapun, PBNP dilaporkan menafikan dakwaan itu sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama oleh kedua-dua pihak.