Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA kekalkan nama negeri kepada pasukan, Sanusi kekal sebagai presiden

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Firdaus Ahmad mengesahkan nama Kedah Darul Aman FC akan digunakan sebagai nama pasukan bermula musim depan.

Syarikat yang menguruskan pasukan pula adalah Darulaman FC Sdn Bhd.

Namun, KFA membuat keputusan untuk menjual 80 peratus pemilikan saham kepada Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI), bermakna pasukan Kedah masih lagi dimiliki kerajaan negeri.

“Sebagai pemilik saham tunggal, Darulaman Football Club Sdn. Bhd. telah bersetuju menjual saham kepada Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dengan pemilikan saham 80% oleh MBI dan selebihnya 20% akan dimiliki oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),” katanya dalam sidang media.

Kata Firdaus, Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) masih lagi dalam perancangan KFA namun akan berada dalam sebuah konsortium bersama empat lagi buah syarikat yang berminat untuk menaja Kedah pada musim depan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor menarik balik hasratnya untuk meletak jawatan sebagai presiden KFA.

Ini selepas surat peletakan jawatannya ditolak oleh pengurusan KFA.

“Saya tarik balik surat letak jawatan…saya rasa menteri besar ada fungsi yang sangat besar dalam sukan bola sepak di Kedah ini untuk diberi perhatian serius.”

Katanya, keputusan itu juga dibuat memandangkan pasukan Liga Malaysia masih lagi melalui proses pemisahan antara persatuan (FA) dan kelab (FC).

“Ada orang cakap pada sesi depan FA tak ada dah, tapi masih ada lagi FA. Pihak saya melalui Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) sudah bersetuju untuk membeli 80 peratus saham dalam Darulaman FC, manakala 20 peratus lagi akan dimiliki oleh KFA.

“MBI kini sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menubuhkan konsortium dan 80 peratus itu akan dikongsi dalam kalangan konsortium itu.”