Mohamadou Sumareh mengakui terkejut apabila pemain Thailand yang beraksi di Police Tero serta para peminat Thailand cukup mengenali dirinya.
Ini selepas pemain berusia 26 tahun itu menyertai Police Tero selepas menamatkan kontraknya dengan Pahang beberapa minggu lalu.
“Sejujurnya, saya jangkakan hanya penyokong Police Tero yang mahu melihat saya beraksi bersama pasukan ini,” katanya.
“Namun saya tidak sangka media Thailand dan para penyokong di negara ini pun teruja juga dengan kehadiran saya.
“Saya menghargai sokongan yang diberikan oleh mereka dan ini membuatkan saya mahu terus bekerja keras untuk menggembirakan mereka.”
Sumareh juga terkejut apabila beberapa pemain Thailand masih mengingatinya ketika Malaysia bertemu Thailand dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 hujung tahun lalu.
“Beberapa pemain Police Tero mengenali saya kerana mereka pernah beraksi menentang Malaysia sebelum ini.”
Sumareh ketika ini sedang berusaha untuk meningkatkan kembali tahap kecergasannya, selepas kali terakhir turun berlatih pada bulan Julai yang lalu.
“Mereka pun memahami situasi saya memandangkan sudah lama saya tidak menjalani latihan.”
“Ketika ini, saya giat mengikuti program kecergasan yang dijalankan oleh pasukan. Mereka pun tidak terlalu memberi tekanan kepada saya jadi apabila saya bersedia sepenuhnya nanti, saya akan memberikan yang terbaik.”