Negeri Sembilan sekali lagi kempunan untuk kembali beraksi di Liga Super.
Masakan tidak, pasukan yang dikendalikan ketua jurulatih Sazali Saidun sekadar berada di tangga ke-8 musim ini, berbanding tempat ke-6 pada musim lepas.
Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Abdul Razak Mohd Idrus ternyata tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya musim ini.
Beliau menganggap, prestasi pasukan tidak konsisten dan ini terbukti menerusi kegagalan pasukan untuk memenangi perlawanan dua kali berturut-turut pada musim ini walaupun pelbagai program latihan telah dilakukan.
Razak juga meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi beberapa pemain terutamanya pemain import, walaupun 90 peratus pemain dikekal pada musim ini.
Malah, Negeri Sembilan ternyata mudah dibolosi pihak lawan sehingga mendapat perbezaan jaringan -7.
“Sebenarnya saya masih kecewa dengan keputusan perlawanan kita semasa bertemu Kuching FA yang menyebabkan kita tewas di tempat sendiri,” katanya.
“Walhal sebelum ini kita menang dua perlawanan di tempat sendiri selepas saingan Liga Malaysia bermula 26 Ogos lalu.
“Walau bagaimanapun, saya berharap pasukan dapat bekerja keras dan kekal fokus untuk perlawanan terakhir Liga Premier menentang Sarawak United agar kita dapat melayakkan diri ke Piala Malaysia 2020 atau saya terpaksa menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.”
Negeri Sembilan kini menduduki tangga ke-8 liga dengan 11 mata apabila mencatatkan 3 kemenangan, 2 seri dan 5 kalah.
Negeri Sembilan akan menetang Sarawak United pada hari Jumaat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.