Liga Super Malaysia Berita

Kekal di Kedah? Kita tengoklah nanti – Aidil Sharin

Aidil Sharin masih belum bersedia untuk mendedahkan sama ada beliau sudah membuat keputusan mengenai masa depannya sebagai ketua jurulatih Kedah pada musim depan.

Ini selepas beliau mendapat beberapa tawaran dari pasukan lain terutamanya Perak yang sudah pun berhubung dengan beliau, selepas Kedah langsung tidak menawarkan sebarang kontrak baharu, selain berdepan dengan masalah kewangan dan tunggakan gaji.

Malah, Aidil akan bertemu dengan pasukan Perak dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu ini.

Namun di sebalik krisis dalaman, prestasi Kedah di bawah kendalian Aidil amat memberangsangkan sehingga berjaya berada di tangga kedua Liga Super ketika ini.

Perkara itu mungkin mengubah fikiran pengurusan Kedah untuk terus mengekalkan khidmat Aidil bagi saingan liga musim depan.

“Pengurusan sedang melakukan yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

“Situasi sedang berubah secara perlahan. Saya yakin mereka akan lakukan lebih baik lagi pada masa depan. Jika semuanya berjalan dengan baik, kenapa tidak.

“Kedah sentiasa di hati saya. Saya suka dengan kakitangan, barisan kejurulatihan dan pemainnya, mereka sangat hebat. Insya-Allah, kita tengoklah nanti.”

Perlawanan antara Kedah dan Perak akan menentukan siapa yang layak beraksi di Piala AFC 2021.

Kedah di tangga kedua liga selepas mengutip 19 mata, berkelebihan satu mata berbanding Perak yang berada di tangga ketiga dengan 18 mata.