Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, menjelaskan pasukannya tidak bercadang meminta penangguhan bagi perlawanan CIMB Liga Super dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat di Stadium Sultan Ibrahim ekoran keputusan ujian calitan COVID-19 menunjukkan semua pemain adalah negatif.
Malah, ujian itu dibuat dua kali pada minggu ini iaitu sebelum dan selepas tiba ke Johor Bahru selain pasukan Sabah juga tiba dengan pesawat yang disewa khas bagi memastikan risiko dijangkiti COVID-19 berada di tahap minimum.
Dalam masa sama, Kurniawan juga menjelaskan pemainnya juga patuh dengan arahan untuk mengurangkan sebarang aktiviti di luar rumah sususlan peningkatan kes yang mendadak di bahagian timur Sabah.
“Semuanya masih berada dalam keadaan baik setakat ini buat pasukan Sabah dan tiada pemain kami dijangkiti COVID-19 malah kami sendiri ada melakukan langkah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pemain.
“Sebelum kami berangkat, kami telah melakukan ujian swab pada Isnin dan keputusannya, semua pemain negatif COVID-19 dan kami lakukan sekali lagi sebaik kami sampai di sini.
“Alhamdulilah, kedua-dua keputusan adalah negatif dan kami tidak ada sebarang masalah untuk meneruskan aksi dengan JDT seperti dirancang sebelum ini.
“Saya juga mahu ucapkan terima kasih dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh tuan rumah iaitu JDT,” katanya.
Situasi itu berbeza dengan pasukan Melaka yang telah menghantar permohonan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk meminta penangguhan kerana sedang menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Sabah yang bermula 28 September lalu sehingga hari ini.
Situasi itu membuatkan MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan media pada Rabu, mengumumkan aksi Kedah dan Melaka yang berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Darul Aman, terpaksa ditangguhkan kepada Ahad.
Dalam pada itu, Kurniawan menjelaskan situasi pasukannya tidak terjejas dengan perlu melalui banyak prosedur ujiab calitan kerana masih boleh menjalani latihan pada setiap hari dan bersedia memberikan tentangan sengit kepada JDT yang semakin hampir bergelar juara CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.
“Kami masih boleh mengimbangi jadual latihan kami biarpun banyak juga masa diberikan untuk lalui prosedur ditetapkan namun demi keselamatan bersama serta mematuhi SOP, saya dan pemain akur.
“Seperti Isnin lalu, kami memilih latihan di sebelah pagi selepas ujian dijalankan pada waktu petang manakala latihan di Johor, sebaik sahaja kami mendapat keputusan hari ini, kami sudah dapat lampu hijau untuk lakukan pada petang ini.
“Aksi dengan JDT cukup penting kepada kami bagi mengesahkan tempat kami di Liga Super musim depan, walaupun sudah naik ke tangga kesembilan hasil kemenangan dengan Melaka tempoh hari tetapi ia masih belum cukup, “ katanya.