Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United lulus proses penswastaan kelab

Kelantan United mengesahkan akan beroperasi sebagai kelab bolasepak bermula musim depan selepas menerima surat kelulusan secara rasmi oleh FAM berhubung proses penswastaan kelab.

Ini menjelang tempoh proses penswastaan kelab iaitu pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) yang bakal berakhir pada 30 September ini.

“Kita melengkapkan semua kriteria yang telah ditetapkan dan menghantar segala dokumen pada 1 September,” kata Setiausaha Kehormat Kelantan United, Anas Karimi Ahmad Thani dalam kenyataan.

“Alhamdulillah, akhirnya Kelantan United Football Club telah menerima surat rasmi kelulusan penswastaan daripada FAM.

“Ini bermakna, penswastaan KUFC juga telah diluluskan sebelum tarikh akhir pada 30 September depan.”

Kelantan United turut mengucapkan terima kasih kepada FAM dan MFL di atas usaha untuk menjayakan penswastaan liga pada musim depan.

“Ini terutamanya kepada Vijash Naidu serta Izhar Atan dari Unit “Task Force FAM”.

“Mereka banyak membantu kelab menyelesaikan urusan penswastaan tersebut.”

Kelantan United sebelum ini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (MPKB-BRI UBeS) dan dikendalikan oleh jabatan belia dan sukan negeri Kelantan.

Walaupun proses penswastaan kelab telah diluluskan, Che Abdullah Mat Nawi yang merupakan pemimpin politik dan timbalan menteri dalam kerajaan persekutuan itu masih kekal selaku Presiden Kelantan United.

Kelantan United kini menduduki tangga ke-6 dengan mengumpul 9 mata, hanya lebih 1 mata daripada musuh senegeri, Kelantan FC.