Ramadhan Saifullah menjadi sebutan peminat sejak kebelakangan ini selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Pemain berusia 19 tahun itu mempamerkan aksi cukup bertenaga, sehingga menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan setakat ini, iaitu ketika membantu JDT menewaskan Pahang 3-2 dan Perak dengan keputusan 7-0.
Prestasi yang ditonjolkannya serta kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih JDT, Benjamin Mora untuk memberikan Ramadhan beraksi dalam kesebelasan utama membuatkan peminat beranggapan bahawa JDT sudah menemui pengganti yang sesuai untuk Safawi Rasid.
Namun Mora tidak terlalu teruja dengan prestasi Ramadhan, sebaliknya meminta pemain itu kekal konsisten pada perlawanan akan datang.
“Kalau dia jaringkan gol melawan Pahang, dia sudah bersedia. Kalau dia jaringkan gol melawan Perak, itu tandanya dia juga sudah bersedia,” katanya dalam sidang media.
“Tetapi saya tidak pasti sama ada dia bersedia untuk perlawanan seterusnya.
“Hakikatnya, saya sendiri tidak tahu jika ada mana-mana pemain berusia 18 dan 19 tahun bersedia untuk beraksi dalam Liga Super. Macam mana kita nak tahu? Mereka hanya perlu menunjukkan mereka boleh beraksi dengan cemerlang, itu yang menjadikan pemain bersedia.
“Ramadhan seorang pemain yang berkemahiran tinggi, pintar, kekuatan fizikal yang tinggi dan prestasinya perlu diambil kesempatan oleh JDT.
“Ramai pemain JDT yang beraksi dengan baik ketika ini seperti Akhyar Rashid dan Safawi yang baru sahaja pulih dari kecederaan.
“Ramadhan juga beraksi dengan baik. Saya rasa pemain sayap dalam pasukan ini mempunyai tahap keupayaan yang lebih kurang sama.
“Ramadhan masih muda dan kita tidak tahu bagaimana prestasinya pada masa akan datang, tetapi kita akan terus beri peluang kepadanya.”