Liga Super Malaysia Berita

MFL: Masih ada yang tidak patuhi SOP ketika perlawanan

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan masih terdapat pasukan yang lalai dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika Liga Malaysia.

Katanya, ini berdasarkan pemantauan ketika perlawanan-perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier yang telah berlangsung sepanjang bulan lalu.

“Pihak sekretariat MFL telah memantau perlawanan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 yang kembali bersambung pada 28 dan 29 Ogos 2020 termasuk dua perlawanan tertunda pada 22 Ogos 2020.

“Berdasarkan laporan Komisioner Perlawanan yang dilantik, pihak sekretariat MFL mendapati terdapat beberapa pelanggaran SOP yang kerap berlaku sepanjang tempoh perlawanan berikut.

“Kegagalan pegawai pasukan dan petugas memakai pelitup muka dengan betul dan pematuhan penjarakan fizikal tidak diamalkan oleh petugas dan VVIP yang hadir,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Ghani memberi peringatan kepada semua pasukan agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia pada masa akan datang.

“Pihak MFL ingin menyeru semua pasukan supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan supaya hukuman dan denda bagi kegagalan pematuhan dapat dielakkan dan bersama-sama menjayakan baki saingan Liga Malaysia 2020.”