![](https://football-tribe.com/malaysia/wp-content/uploads/sites/13/2020/09/sumareh_jnr26_70335806_220631535570868_6281317008770669977_n-800x800.jpg)
Mohamadou Sumareh masih berahsia dan enggan membuka mulut berhubung status kontraknya dengan Pahang.
Ini meskipun pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan telah menamatkan kontrak menerusi klausa 8.7 yang membenarkan beliau menyertai kelab lain sekiranya pemain tidak menerima gaji lebih daripada sekali.
Ia disusuli dengan spekulasi bahawa Sumareh akan berpindah ke kelab Thailand, Police Tero FC dalam masa terdekat.
Namun, apabila Sumareh menyebut Pahang sebagai bekas pasukannya, ia menandakan bahawa beliau sudahpun meninggalkan Pahang.
“Bagi menghormati Pahang, saya tidak mahu berkata apa-apa. Saya hanya akan bercakap apabila waktunya telah tiba,” katanya kepada Astro Arena.
“Bagi menghormati bekas pasukan saya, tiada apa untuk saya nak katakan.”
Sumareh turut mendedahkan bagaimana beliau menerima pelbagai komen, ada yang positif dan ada juga sebaliknya.
“Ada penyokong masih baik dengan saya. Mereka berikan sokongan kepada saya dengan mesej-mesej yang amat baik dan amat memahami.
“Ada juga yang membenci saya dengan komen-komen yang amat buruk.
“Tetapi itulah kehidupan, bukan semuanya berpihak kepada kita.
“Adakalanya kita melalui waktu yang indah dan adakalanya waktu yang buruk.
“Saya kira ini adalah waktu yang buruk buat saya.
“Insya-Allah segalanya akan pulih tidak lama lagi.
“Buat masa ini, saya hanya mahukan perkara ini reda dan saya mahu fokus kepada diri saya.
“Saya mahu bersama keluarga saya dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku nanti.”
Jika menjadi kenyataan, Sumareh akan menyertai rakan senegaranya, Dominic Tan yang sudah hampir setahun berada di Police Tero.
Norshahrul Idlan Talaha juga berada di Thailand dan kini beraksi dengan BG Pathum United.