Persatuan Bola Sepak Melaka United bercadang untuk menaik taraf pelbagai kemudahan yang digunakan seperti padang dan bilik persalinan.
Presidennya, Datuk Sulaiman Md Ali berkata usaha itu selari dengan proses penswastaan kelab dan pemisahan FA ke FC bermula musim depan.
“Naik taraf merangkumi kemudahan latihan, gimnasium, bilik persalinan, bilik seminar,” katanya kepada Harian Metro.
“Ini selaras dengan penswastaan pasukan Melaka United bermula bagi saingan Liga Malaysia musim depan.
“Dengan naik taraf seperti pembinaan kemudahan lampu limpah, sudah pasti ia juga memberi impak terhadap kualiti bola sepak di negeri ini kelak.”
Ia juga termasuk 10 padang bola sepak di Kompleks Sukan Melaka, Paya Rumput.
Padang itu digunakan bagi saingan liga bolasepak negeri Melaka dan sesi latihan pasukan remaja namun ketika ini tidak sesuai digunakan untuk liga kompetitif akibat permukaan padang yang tidak rata.
Justeru, Sulaiman berkata Melaka United sedang giat mencari penaja untuk merealisasikan proses naik taraf itu.